Tuesday 14 February 2012

INFO~ Kacang botol



Assalamualikum....
Sekejap tadi aku dah masukkan entry berkaitan tanaman yang terdapat di belakang rumah aku. Aku nak kongsi sedikit info berkaitan dengan tanaman kacang botol. Kacang botol ni sangat sedap dibuat ulam, goreng berlada bersama udang, digoreng biasa dan juga dibuat kerabu.

Info ini aku petik dari web: http://ms.wikipedia.org/wiki/Pokok_Kacang_Botor

Pokok Kacang Botor (bahasa Inggeris: winged bean atau Goa bean), juga dipanggil kacang botol, kacang kelisa, kacang sirek, atau kalkang, ialah tumbuhan kekacang tropika yang berasal dari Papua New Guinea. Pokok ini tumbuh dengan baik dalam iklim tropika lembap dengan hujan lebat dan oleh itu, banyak terdapat di kawasan khatulistiwa dari Filipina dan Indonesia ke India, Myanmar, dan Sri Lanka.

Pokok Kacang Botor merupakan sejenis pokok menjalar yang tumbuh dengan cara memanjat atau melilit. Setinggi 3-4 meter, pokok ini adalah lebih tinggi dan besar, berbanding pokok kekacang biasa. Pokok Kacang Botor ialah tumbuhan herba saka, tetapi boleh ditumbuh sebagai pokok semusim.

Lenggai kacang biasanya sepanjang 15-22 sentimeter (6-9 inci) dan mempunyai empat sayap, dengan tepi yang beropol-ropol pada sepanjangnya. Kulitnya lekit-lekit, dan isinya kelihatan separuh lut cahaya di dalam lenggai yang muda. Ketika lenggai cukup masak, warnanya bertukar menjadi perang-abu dan lenggai itu terbelah untuk membebaskan biji-bijinya. Bunganya besar dan berwarna biru pucat. Kekacangnya serupa dengan kacang soya dari segi kegunaan dan kandungan pemakanan, dengan kandungan protein sebanyak 29.8% - 39%.

Pokok Kacang Botor merupakan salah satu pokok mengikat nitrogen yang terbaik, dengan penodulan dilaksanakan oleh Rhizobium, sejenis bakteria tanah. Disebabkan keupayaannya untuk mengikat gas nitrogen dari atmosfera, pokok ini tidak memerlukan atau tidak memerlukan banyak baja.

Sebagai pokok tropika, Pokok Kacang Botor amat peka akan fros. Pokok ini tidak akan berbunga jika panjang siang melebihi 12 jam. Biji benih mempunyai kulit yang keras, dan untuk membantu percambahan, biji benih boleh direndam sebelum menanam. Pokok ini bertumbuh dengan cepat, dan mencapai panjang sebanyak empat meter dalam tempoh beberapa minggu.


Kegunaan

Pokok Kacang Botor telah diberi nama samaran, "pasar raya satu spesies", kerana hampir semua bahagian tumbuhan ini boleh dimakan.:

  • Lenggai mudanya yang digunakan sebagai sayur atau ulam merupakan bahagian tumbuhan yang paling banyak dimakan, dan boleh dituai dalam tempoh 2-3 bulan selepas penanaman.
  • Kacang mempunyai rasa yang sama dengan pucuk asparagus.
  • Bunga sering digunakan untuk mewarnakan beras dan pastri.
  • Daun muda boleh dimasak sebagai sayur daun yang serupa dengan daun bayam.
  • Akar yang mempunyai perisa kacang boleh digunakan sebagai sayur berubi yang serupa dengan ubi kentang. Akar pokok ini lebih kaya dengan protein, berbanding ubi kentang.
  • Biji-biji kering amat berguna sebagai tepung, dan boleh dijadikan minuman seakan-akan kopi.

Setiap bahagian Pokok Kacang Botor boleh membekalkan vitamin A dan vitamin-vitamin yang lain. Adalah mungkin bahawa dengan sedikit pembaikan genetik melalui pembiakbakaan pilihan, Pokok Kacang Botor boleh meningkatkan taraf hidup berjuta-juta orang di negara-negara tropika yang miskin.




Info berkaitan panduan penanaman kacang botol ni, aku ambil dari web http://www.organikpro.com/files/Kacang_Botor-Panduan_Menanam.pdf

PANDUAN MENANAM KACANG BOTOR/BOTOL

PENGENALAN
Kacang botor (Psophocarpus tetragonolobus D.C.) atau kacang kelisa adalah sejenis sayuran berbuah yang sangat
kaya dengan protin dan lemak serta vitamin A dan B. Ianya dipercayai berasal dari Papua New Guinea dan Asia
Tenggara.
Pokok kacang botor tumbuh melilit dan memerlukan pancang/kayu junjung untuk memanjat. Ia selalu ditanam sebagai
tanaman jangka pendek di kebun sayur atau di tepi-tepi pagar rumah.
Buah potong berukuran 15-20 cm panjang dan mempunyai 4 sayap yang bergerigis. Biasanya buah digunakan dalam
masakan dan juga dimakan mentah sebagai ulam.

TANAH
Kacang botor boleh ditanam di berbagai-bagai jenis tanah iaitu dari ringan berpasir hingga kepada tanah lempong serta
tanah gambut. Elakkan dari menanam di kawasan yang bertakung air. Tanah yang gembur, subur, baik salirannya dan
pH 5.5 – 6.0 adalah paling sesuai.

PENANAMAN
Menyedia kawasan
Bajak dan gemburkan tanah sedalam 20-30 cm untuk memudahkan akar tumbuh dengan baik. Sediakan batas
berukuran 1.3 m lebar, 30 cm tinggi dan panjangnya 7.5 m atau mengikut keadaan kawasan. Jarak antara batas adalah
30 cm.
Menanam
Kacang botor dibiakkan dengan biji benih. Biji benihnya boleh diambil dari buah-buah yang telah cukup tua yang
berwarna perang kehitaman. Gaul biji benih dengan racun kulat, contohnya thiram dengan kadar 3 g bagi 100 g biji
benih sebelum menanam.
Biji benih boleh ditanam dengan jarak 50 cm antara pokok dan 1 m antara barisan ataupun 60 cm x 60 cm. Tiap-tiap
batas mengandungi dua barisan pokok. Tanam terus biji benih ke atas batas sebanyak dua biji selubang, lebih kurang
2.5 cm dalam. Biji benih akan bercambah dalam masa 14 hari. Cabut dan tinggalkan hanya satu anak benih yang sihat
pada setiap lubang. Untuk kawasan seluas 0.4 ha lebih kurang 7 kg biji benih diperlukan.
Menyedia Junjung
Untuk mendapatkan hasil yang baik kacang botor perlu diberi junjung. Sokong anak-anak tanaman dengan
menggunakan kayu pancang berukuran 2 – 2.5 m panjang. Condongkan kayu-kayu sokongan yang bertentangan
supaya bersilang dan ikat di bahagian atas tempat bertemu untuk mendapatkan sokongan yang kuat. Kemudian
lentangkan kayu-kayu pada tiap-tiap tempat persilangan. Pastikan anak-anak tanaman melilit kayu sokongan. Cara ini
sesuai untuk kawasan penanaman yang kecil.
Satu cara lagi untuk menyokong pokok adalah dengan sistem trellis. Pacakkan sebatang kayu/tiang-tiang beruti yang
berukuran lebih kurang 2.5 m panjang dan bergarispusat 8-10 cm di bahagian tengah kedua-dua hujung tiap-tiap batas.
Pacakkan pula tiang kayu berukuran 0.6 m panjang dan 5-6 cm garispusat di hujung penjuru tiap-tiap batas.
Sambungkang tiang-tiang kayu yang bertentangan antara kedua hujung batas dengan dawai kasar. Gunakan tali rafia
untuk membantu anak pokok memanjat junjung.

PENJAGAAN
Menyiram
Siram pokok 2 kali sehari iaitu pagi dan petang kerana anak pokok memerlukan air yang banyak untuk membesar.
Membaja
Pembajaan asas dengan baja organan atau baja asli seperti tahi ayam reput dan kompos sebanyak 7 tan metrik untuk
0.4 hektar atau kira-kira 22.5 kg sebatas yang berukuran 1.3 m x 7.5 m adalah mencukupi. Baja ini digaulkan ke dalam
tanah seminggu sebelum menanam.
Untuk baja tambahan gunakan baja kimia iaitu baja sebatian N:P2O5:K2O:MgO 12:12:17:2 + T.E. sebanyak lebih
kurang 1.5 kg sebatas atau 15-20 g/pokok ketika berumur 3, 5 dan 8 minggu. Ini memerlukan lebih kurang 450 kg baja
untuk 0.4 hektar. Baja boleh ditabur di keliling pokok sejarak 10 cm dari pangkalnya atau ditabur berjalur mengikut
barisan tanaman.
Pembajaan berikutnya boleh dibuat selepas memungut hasil atau apabila kesuburan pokok kelihatan merosot.
Merumput
Rumpai perlu dikawal sepanjang masa bagi mengelakkan persaingan dengan pokok untuk mendapatkan zat makanan,
cahaya matahari dan air. Kerja merumput biasanya dilakukan dengan tangan, cangkul atau tajak.
Mengikat Rafia
Apabila anak-anak pokok berumur 2 minggu, bolehlah mula mengikat tali rafia ke dawai junjung untuk membantu
pokok memanjat. Ikatkan tali-tali rafia tersebut bersilang menghubungkan dawai bahagian bawah dengan dawai
bahagian atas. Tentukan pokok meliliti tali-tali rafia tersebut.

MEMUNGUT HASIL
Hasil buah boleh dikutip 10-12 minggu selepas ditanam. Pilihlah buah yang hijau serta rapuh dan berukuran 15-20 cm
panjang. Kutipan boleh dibuat setiap 2-3 hari sekali untuk mengelakkan daripada buah banyak menjadi tua. Buah yang
tua akan bersabut dan tidak sedap dimakan. Pokok yang subur boleh menghasilkan 10 biji buah sepokok sekali petik
selang dua hari.
Hasil purata buah yang boleh diperolehi dianggarkan antar 4,000 – 5,000 kg/0.4 ha. Buah-buah kacang botor ini selalu
terdapat dijual di pasar-pasar dengan harga RM 1.00 seikat.


No comments:

Post a Comment

KUIH KOLEH KACANG 5 Ramadhan

Assalamualaikum wbt 5 Ramadhan 1442/ 17 April 2021 Alhamdulillah.. Sedar tak sedar dah 5 ramadhan hari ni. Hari ni hari Sabtu, sis sekeluarg...