Showing posts with label Masakan Mee. Show all posts
Showing posts with label Masakan Mee. Show all posts

Wednesday, 20 May 2020

MEE FUNGUS ala2 Mee Tarik

Assalamualaikum wbt

Hari ni hari ke 64 PKP: Hari ke 8 pkp fasa 5
20 MEI 2020: 27 RAMADHAN 1441

Mee fungus ni sis cuba2 je buat resepi baru heheh. Sebabnya, sis sangat suka makan mee tarik. Dan Mee Funggus ni adalah pilihan utama sis kalau masuk restoran mee tarik. Makanya, time pkp ni, sis cuba-cuba buat mee fungus ala2 mee tarik Walaupun tak sama dengan rasa yang original, tapi dah dapat hampir-hampir rasanya. Kira ok lah.. kalau nak betul2 rasa yang sama, sis kena lah kerje kat kedai tu untuk dapatkan ramuan rahsia resepi mee tarik ni.


RESEPI MEE FUNGUS

BAHAN-BAHAN:
1/2 peket spegeti-rebus hingga masak dan ketepikan

1 keping dada ayam-dipotong nipis
4 ulas bawang putih-dicincang halus
1 biji bawang besar-didadu
1 biji capsicum sederhana-potong kiub
1 biji tomato-potong kiub
segenggam cendawan kering warna hitam-rendam hingga kembang
2 sudu besar biji ketumbar-kisar kasar guna blender kering
5 sudu besar cili kisar
2 sudu besar sos tiram dan sedikit kicap
1 ketul kiub ayam
1/4 cawan minyak zaitun utk menumis

Cara-cara:
1. Panaskan minyak, tumis bawang putih, bawang besar dan cili kisar hingga naik bau.
2. Masukkan isi ayam, gaul dan biarkan ianya masak.
3. Masukkan ketumbar yang telah dikisar kasar tadi.
4. masukkan kiub ayam, sos tiram, sedikit kicap, cendawan dan sedikit air. Gaul hingga cendawan masak.
5. masukkan capsicum, tomato dan diikuti dgn spegeti. Gaul sebati
6. Biarkan seketika sambil digaul sebati, tutup api dan siappp...




Tuesday, 19 May 2020

KUEY TEOW GORENG SIMPLE

Assalamualaikum wbt
Hari ni hari ke 63 PKP: Hari ke 7 pkp fasa 5
19 MEI 2020: 26 RAMADHAN 1441

KUEY TEOW GORENG dan cucur udang. Simple je. Dah hujung2 ni dah kehabisan idea dah ni.



RESEPI KUEY TEOW GORENG SIMPLE
Bahan-bahan

1/2 bungkus kuey teow
3 ekor sotong-dipotong kecil(kerat 3)

3 ulas bawang putih-tumbuk
3 ulas bawang kecil-tumbuk
3 sudu besar cili kisar

2 sudu besar sos tiram
4-5 sudu kicap pekat manis
garam secukupnya
segenggam taugeh
segenggam daun kucai
2 biji telur

Cara-cara:
1. Panaskan minyak utk menumis. Tumis bawang dan cili hingga garing.
2. Masukkan sotong, sos tiram, kicap dan telur.
3. Masukkan telur dan kuey teow
4. Gaul sebati. Jika perlu tambah garam dan maggi cukup rasa.
5. Bila dah gaul sebati, masukkan daun kucai dan taugeh.
6. Kaup balikkan bahan-bahan seketika dan tutup api.










Thursday, 14 May 2020

MEE MAMAK

Assalamualaikum wbt
Hari ni PKP hari ke 58: Hari ke 2 PKP Fasa 5
21 RAMADHAN 1441
Malu nak cakap yang sis masak mee goreng yang snagat simple iaitu mee goreng mamak. Suami request nak mee goreng ala2 mamak. Taknak rencah sotong, udang dan ayam bagai. Cukup sekadar pecahkan telur je. Orite..sonang kojo sis. Dah alang2 kojo sonang hari ni, sis tambah lagi satu menu iaitu sis buat popia vietnam.

MEE GORENG MAMAK

Bahan-bahan:
1/2 bungkus mee kuning
3 ulas bawang putih-tumbuk
3 ulas bawang merah-tumbuk
4 sudu besar cili kisar
1 keping tauhu-potong kiub kecil
2 pokok sawi-dipotong
1 mangkuk taugeh
2 biji telur
sedikit cili besar dihiris
1/2 biji tomato
2 sudu besar sos tiram
2 sudu besar kicap manis
1 sudu kecil maggi cukup rasa(atau 1/2 kiub ayam)
sedikit garam

Cara-cara
1. Panaskan sedikit minyak untuk menumis. Tumis bawang putih, bawang merah dan cili kisar hingga naik bau.
2. Masukkan tauhu, maggi cukup rasa, garam, sos tiram dan kicap. Kacau sekejap.
3. Masukkan sawi dan mee kuning. Gaul seketika
4. Masukkan telur dan gaul sebati. (Kalau mee lebih, tambah telur lg sebiji).
5. Sebelum tutup api, masukkan taugeh dan gaul rata. Tutup api supaya taugeh tidah terlalu layu.
6. Hias dgn cili hiris dan tomato.
7. Mee Goreng Mamak SiAPPPPP













Tuesday, 12 May 2020

BIHUN TOMYAM

Assalamualaikum wbt
Hari ni PKP ke 56: 12 MEI 2020 Hari terakhir PKP Fasa 4. Esok kita akan sambung PKP Fasa 5 hingga 9 Jun 2020.
19 RAMADHAN 2020

Hari ni anak sis masak bihun tomyam dan sis buat kuih lopes.. Ok mama relax hari ni... Kita serahkan pada anak dara pulak masuk dapur ye. Sis cuba bg tumpuan proses buat kuih lopes je hehehe...Itupun sis dah buat awal lbh kurang pukul 3.30 ptg dah masuk dapur sbb nak relax awal.



RESEPI BIHUN TOMYAM VERSI ANAK DARA SIS

1/2 bungkus bihun direndam sekejap.
6 ekor udang sederhana
3 ulas bawang putih
1 biji bawang besar
10 ulas cili padi
5 batang serai-1 blend, 4 btg diketuk
5 helai daun limau purut
2 sudu besar sos ikan
2 sudu besar sos tiram
10 biji bebola ikan dibelah 2
2 pokok sawi
1/2 batang lobak merah dipotong memanjang
1 biji tomato-belah 6
1 kiub ayam
sedikit garam(pilihan)-sbb kiub dah masin, so ejas ikut kesesuaian


CARA-CARA:
1. Blend bawang putih, bawang besar, 1 batang serai dan cili padi.
2. Panaskan minyak secukupnya untuk menumis dan tumis bahan blend tadi hingga naik bau.
3. Masukkan udang, 4 batang serai, daun limau purut, bebola ikan, sos tiram dan sos ikan. Perasakan dgn garam.
4. Masukkan bihun dan 1 cawan air. Biarkan mendidih dan bihun menjadi lembut.
5. Masukkan sawi, tomato dan lobak merah.
6. gaul sebati hingga bihun sebati dgn bahan tumis dan sayur layu.
7. Bila dah sekata rasanya.. tutup api dan sedia dihidang.

Monday, 11 May 2020

KETUPAT SOTONG versi Kelantan

Assalamualaikum wbt
Hari ni PKP ke 55: PKP FASA 4 hari ke 13
18 RAMADHAN 2020

Iftar kami hari ni ialah mee ladna dan ketupat sotong. Lama dah ketupat sotong ni masuk list, asyik tak dapat je nak buat.

Sebenarnya mee ladna ni ulang tayang mee ladna masa pkp ke 22 hari tu.. PKP Fasa 2 dah buat..so sessi ulang tayang je lah ye.. Cerita ketupat sotong ni, en suami sebenarnya tak pandai sangat makan ketupat sotong ni, maklumlah dia orang Melaka, mana pandai makan benda2 pelik yang bukan dari negeri asal dia heheh. sedap je ngumpat... Kalau kita pulak, jenis makanan semua negeri kita cuba. kalau baru-baru kawin lbh 20 tahun dulu, nasi kerabu dia tak pandai makan. Slowly, kita ajar.. Alhamdulillah... skrg dah pandai makan nasi kerabu dan beberapa makanan pelik dari negeri lain.. tapi kalau jenis kuih manis2 ni, memang dia belum tergoda lagi.. Takpelah... janji dia x halang apa yang kita suka makan kan...Untuk resepi mee ladna..Boleh tgk resepi kat sini..klik link tu..

https://jumeezaila.blogspot.com/2020/04/mee-ladna.html

OK JOM KITA TGK RESEPI KETUPAT SOTONG JE LAH YE.
Ketupat sotong yang sis buat ni adalah versi dari negeri Kelantan. Kalau negeri Terengganu, versi kuah putih dan kuah nya banyak macam makan bubur. Versi kelantan ni, kuah akan kering menjadi pekat air gula dicampur santan. Tapi tu la kan... yang nak makan ketupat sotong ni, sis berdua dgn anak sis je. Jadinya, kena buat sotong ni ngam2 je. taknak membazir. Membazir tu tak membazir lah...sbb suka makan kan.. nanti sis jugak yang terlebih makan hehehe.

RESEPI KETUPAT SOTONG

a) 6 ekor sotong sederhana
-lebih kurang saiz sotong tu besar 2 jari kita
b) 12 sudu teh beras pulut atau secukupnya
-Cara nak tau banyak mana beras pulut. bajet untuk 1 ekor sotong, kita letak 2 sudu kecil beras pulut, kita gandakan ikut umlah sotongnya.
c) 1 kotak kecil santan KARA
-Sis suka guna santan KARA sbb lebih pekat. Tak habis pun sekotak santan tu nanti.
d) 1/2 keping gula kabung. Kalau gula melaka, agak2 lah macam buat pengat tu.
-Sis tak suka campur gula pasir, nanti terlalu manis baq hang.
e) Sedikit garam

Cara-cara:
1. Sotong dibersihkan. Boleh buang kulit luar tu. Sis tak buang utk dapat kan impak warna hahah..betul ke ayat tu.
2. Beras pulut dibasuh dan direndam selama lbh kurang 1 jam.
3.Toskan beras pulut. Tuang santan lebih kurang 2 sudu besar dan sedikit air ke dalam bekas berisi beras pulut tadi. Masukkan garam 1 sudu teh atau sesedap rasa. Biar santan cair tu ada rasa masin-masin sikit.
4. Guna sudu kecil, sudukan 2 sudu beras pulut bersama dengan santan ke dalam sotong. Masukkan beras hingga tinggal 1 cm bhg atas sotong. Ambil kepala sotong lekatkan di atas sotong dan cucuk lidi utk lekatkannya. 1 ekor sotong guna 2 batang lidi.
5. Ambil periuk sederhana kecil(utk muatkan sotong tu. Susun daun pandan di dasar periuk dan kemudian susun lah sotong tu hingga siap. (6 ekor semuanya).
6. Tuang 1/2 kotak santan dan 1/2 cawan air(agak2 jangan cair sgt).  Masukkan 1/2 keping gula kabung dan 1 sudu teh garam. Tutup periuk dan hidupkan api.
7. Hidupkan dapur dengan api perlahan. Masak sotong hingga pekat dan bertukar warna gula spt dalam gambar. Hati-hati supaya sotong tak hangus. Api perlahan supaya pulut dalam sotong cukup masak.
8. Bila kuah dah pekat, sotong dah membuncit dgn cantiknya, tutup api dan sedia dihidang.



 Mee ladna kita hari ni...






Wednesday, 6 May 2020

MEE DAN KUEY TEOW SOTO

Assalamualaikum wbt
Hari ni ngam-ngam PKP ke 50. hari ke 8 pkp fasa 4.
13 Ramadhan 2020
Sebenarnya hari ni plan sebelah paginya nak oder nasi kerabu. Maklumlah... sejak PKP ni dah 49 hari sis masak tanpa cuti.. Tak miss tau.. Sis rasa bukan sis sorang je macam tu... Since kedai2 pun memang tak bukak. lainlah kalau ada yang oder online dan cod kan.. So sis pun tetiba teringin jugak lah nak beli makanan yang blh cod depan rumah.. Tup tup belah tghari tokey nasi kerabu jawab, tak sempat cod area Masjid Tanah. Adoiyai... Buntu lah pulak nak masak apa kan...

Dalam pada tu, otak ni berjalan je, dok pikir nak masak apa. Maka terlahirlah..menu hari ni... Mee Soto. Alang-alang mee pun ada dan bahan2 sampingan pun ada, makan sis anak beranak pun berkayuh lah tak berhenti macam lipas kudung sejak pukul 6. Maklumlah..bahan utk buat mee soto ni memang banyak.. Dengan supnya, siat-siat isi ayam, celur sawi, goreng tauhu(takut dah lama dlm peti ais, so kena goreng garing..Alhamdulillah mujur tauhu ni elok lagi), dgn begedilnya, bawang gorengnya, dsb. Memang menggelupur lah nak setlekan dlm masa 1 jam ni kan. Dalam pada tu, anak sis nk buat cek mek molek yg kerja pun memang renyah.. lenyek keledek, gaul tepung dan buat bentuk.. Pastu nak goreng pulak.. Siap satu part. Beralih pulah kepada buat begedil, time tu jugak lah baru nak siang bawang kecil, utk buat bawang goreng, rebus kentang(x sempat nak goreng dah), stim masuk noxxa  5 minit, lenyek dan gaul bahan sebelum dibentuk buat begedil. Sambil2 tu sis celur mee kuning dan kuey teow yg ada sikit, panaskan minyak utk goreng begedil..Sambil si anak buat sambal kicap.. Adoiyai..memang betul2 bersilat ni..bukan main-main tau.. Ngam-ngam pukul 7 siap hidang dalam bekas cantik-cantik. Ada masa lagi, dok kenangkan en suami yang tak makan kuih manis cek mek molek ni, sis kupas keledek utk di goreng sambil si anak, bancuh tepungnya. Panaskan kuali, goreng dan siap!! Ngam-ngam masuk waktu berbuka. Fuhhhh berpeluh jangan citer. Macam masuk rancang MASTERCHEF pulak. Siap plating, azan berkumandang... Hahaha, tq sudi baca sampai habis cerita sis ni...

Ceritanya, utk resepi mee soto atau mee sup ni, blh lah tekan link di bawah ni.
https://jumeezaila.blogspot.com/2020/03/bihun-soto-kuarantin.html

Sebenarnya, pada sis mee soto ke mee sup ke, macam sama je kan.. Kalau mee sup ni, selalunya takde lah letak begedil dan su un rangup ni. Biasanya mee sup ni lbh kpd letak sayur dan bebola ikan di dalamnya. Sayur pun biasanya akan letak sekali dalam sup tu. Macam kita oder makan kat kedai tu kan. Alahhh tak kisah lah kan..janji menepati apa yang kita nak makan tu.

Sebenarnya, dlm kelam kabut nak berbuka ni.. masa plating, sis sempat ambik gambar kuey teow je. Sebabnya, kuey teow ni ada lebih sikit lagi, so dapatlah semangkuk utk sis Yang 2 beranak lg tu makan mee sup/soto. terlupa nak ambil gambar cantik-cantik hehehe...


Bahan-bahan
A)
Celur mee kuning dan kuey teow dangan air panas mendidih. Ketepikan


B) Bahan Sup

2 keping dada ayam-rebus ayam. bila dah masak, keluarkan dada ayam dan carik-carikkan.

5 ulas bawang putih
1/2 biji bawang besar
1 inci halis
rempah 4 sekawan
1 sudu rempah kurma-ada dlm simpanan dh beli lama-expired 2021
2 sudu rempah sup-sama mcm rempah kurma juga
1 ketul kiub ayam
1 sudu teh serbuk lada hitam

Cara: Panaskan sedikit minyak utk menumis. Tumis empat sekawan. Bawang putih, bawang merah dan halia ditumbuk dan ditumis hingga naik bau. Masukkan rempah kurma dan rempah sup dan tuang sedikit air supaya rempah tadi tidak hangus. Kacau hingga naik bau, masukkan ayam. Kacau rata dan masukkan air secukupnya. Biarkan mendidih dan ayam cukup masak. Keluarkan dada ayam dan carik-carikkan isinya. Ketepikan. Jangan lupa masukkan kiub ayam(xde pun takpe) dan garam secukupnya. Lagi lama reneh, lagi mesra rempah ratusnya..hahaha betul ke ayat tu. Bila sup dah masak, tutup api dan ketepikan.

C) dada ayam yang telah direbus tadi dicarik-carikkan.
 Ketepikan.

D) Begedil
2 biji kentang sederhana. Stim guna periuk noxxa dalam 7-8 minit. Kemudian tumbuk. Masukkan dalam bekas.
4 ulas bawang kecil dimayang
1 ulas bawang putih dimayang.
-Goreng bawang. Bila dah garing, angkat dan masukkan ke dalam bekas kentang yg telah ditumbuk tadi.
-2 sudu besar udang kering-ditumbuk halus dan masukkan dalam bekas kentang.
-sedikit daun bawang dan daun sup diracik dan dimasukkan ke dalam bekas kentang.
Garam secukupnya.
1 biji telur (utk goreng)

-Gaul sebati bahan-bahan tadi. Buat bulat-bulat dan dileperkan macam piring terbang tu ye.

Panaskan minyak secukupnya.
Pecahkan telur dalam mangkuk kecil dan kacau sebati. Celup begedil dgn telur dan goreng dengan api perlahan. Bila dah masak, angkat dan ketepikan.

D) Sambal kicap
Segenggam cili api(ikut kepedasan masing-masing). Nak cakap secubit mcm nak ambil garam pulak. Nak kata beberapa biji, tak bilang pulak cili tu hahaha...
5 ulas bawang putih-goreng sebiji-sebiji. (jangan ko tumbuk dan tumis bawang putih mcm nak goreng sayur pulak....)

Masukkan cili dan bawang putih, tumbuk hingga lumat. Kali ni masuk blender kering tu dan kisar. Nak cepat...Tuang dlm 1/2 cawan kicap lemak manis. Perah air limau nipis atau lemon atau limau kasturi. Jangan la letak limau purut pulak. Perasakan dengan garam dan gula. Mesti ada rasa masin, manis dan masam. Biar sebati. Masukkan dlm mangkuk sesuai dan sedia dihidang








 Oleh kerana sis makan kuey teow, makanya banyak gambar kuey teow je lah yang sis snap kan hahahah... ok lah kan..tak kacau mangkuk orang lain..

Tuesday, 5 May 2020

KUEY TEOW GORENG SIMPLE

Assalamualaikum wbt
Hari ni PKP ke 49, hari ke 7 pkp fasa 4.
12 Ramadhan 2020
Hari ni menu kita kuey teow goreng je. Apapun Alhamdulillah dgn rezeki yang ada. Tak larat nak makan nasi sangat sebenarnya jadinya kita selang selikan antara nasi dan mee ke bihun ke kuey teow ke kan....
Ceritanya, hari ni kita makan key teow dan kuih pemanis mulutnya ialah bingka labu.


RESEPI KUEY TEOW GORENG SIMPLE
Bahan-bahan:

3/4 bungkus kuey teow-di basuh dgn air paip je, ditoskan.(sebungkus tu ambik 3 bhg je), sbb kitorg bertiga je
4 ekor udang besar
2 ekor lebihan sotong hr tu_kerat 3
10 biji bebola ikan-belah 2
5 ulas bawang putih diketuk dan cincing halus
1/2 biji bawang besar-dimayang
3 sudu cili kisar
1 sudu besar sos tiram
2 sudu besar kicap
1 sudu besar cuka
segenggam taugeh-yg sis tanam tu kan hehehe
daun kucai-lbh kurang 2 cawan camtu
daun sup, daun bawang dan cili merah sbg hiasan. 
1 keping tauhu-potong nipis dan goreng,angkat dan asingkan. Boleh tabus atas kuey teow yang dah masak ataupun gaulsekali dlm kuey teow nanti.
3/4  cawan air.(kurang lebih lah airnya, x perlu nak habiskan pun takpe)

Cara-cara:
1. Panaskan minyak secukupnya. Tumis bawang putih, bawang besar dan cili kisar hingga masak.
2. Masukkan udang, sotong dan fishball
3. Masukkan sos tiram, kicap manis, cuka dan sedkit garam. (hati2 sbb bahan sos tu dah masin. Sis letak garam dalam suku sudu je. Tak letak pun takpe kot.
4. Masukkan air. Biarkan didih sekejap.
5. Masukkan kuey teow dan daun kucai serentak sbb taknak kedua-duanya terlebih masak.
6. Gaul rata dan masukkan taugeh. Kacau sekejap dan tutup api.
7. Sedia dihidang dlm mangkuk. Hias dgn daun sup, daun bawang dan cili besar. Taburkan juga tauhu yg digoreng tadi. Selamat berbuka semua...





Thursday, 30 April 2020

BIHUN GORENG

Assalamualaikum wbt
Hari ni PKP ke 44 merupakan hari ke 2 PKP Fasa 4.
Hari ni kami berbuka kuih tepung pelita dan bihun goreng. Rata-rata memang dah tau macamana nak goreng bihun ni kan. So layan je la resepi mudah kat bawah ni.


BIHUN GORENG
Bahan-bahan

1/2 bungkus bihun-rendam air panas sekejap je
4 ulas bawang putih-ditumbuk
1/2 biji bawang besar-ditumbuk
2 sudu besar cili kisar
12 ekor udang sederhana besar
2 batang sawi
10 biji bebola ikan-belah 2
sedikit taugeh
2 biji telur
2 sudu besar sos tiram
3-4 sudu besar kicap lemak manis
sedikit cili merah dan cili hijau

Cara-cara:
1. Tumis cili kisar, bawang putih dan bawang merah hingga naik bau dan cili garing.
2. Masukkan udang, fishball dan sayur
3. Masukkan sos tiram dan kicap manis dan sedikit air.
4. Masukkan garam dan pecahkan telur. kacau seketika.
5. Masukkan bihun dan gaul rata.
6. Bila dah sebati dan bihun dah masak, tutup api dan sedia dihidang.
7. Taburkan taugeh dan cili.

Friday, 24 April 2020

MEE UDANG KUALA SEPETANG

Assalamualaikum wbt
Hari ni PKP masuk hari ke 38 bermakna sudah hari ke 10 untuk PKP fasa 3 ni.
Hari ni juga merupakan hari pertama umat Islam berpuasa di bulan Ramadhan. Dan..buat pertama kalinya tiada bazar ramadhan di seluruh Malaysia. Mungkin menjadi satu tamparan hebat juga buat peniaga yang menjadikan bulan ramadhan ni sbg punca menambahkan pendapatan mereka.  Dan tak kurang juga kepada  pelanggan yang tidak berkesempatan utk menyediakan juadah berbuka puasa. Bagi sis pula... dah bertahun-tahun sis menyediakan juadah berbuka puasa di rumah sahaja. Pada sis lebih selesa dan berpuas hati jika kita sediakan juadah berbuka di rumah sahaja yang pastinya blh dimakan panas2 serta menepati citarasa. Dan kadag-kadang tu, azan maghrib dah berkumandang, dapur sis masih lagi menyala. Hahahaha time tu mula kelam kabut dibuatnya. Dapat pulak cik abang dah menjeling dekat bucu meja. Kalau dah macam ni, rasanya memang elok sangat beli je juadah di bazar, kan... cepat, mudah dan tersedia sebelum waktu berbuka puasa. Hati pun takde lah dup dap dup dap je kan.. tu belum citer nak snap gambar lagi hahahah..pengsannnnn.... Alaaa sis citer je... tapi en suami dah faham sangat dengan peel cik isterinya... Sis ni antara isteri yang bertuah juga kerana mempunyai en suami yang sporting... Alhamdulillah... nikmat mana lagi yang ingin engkau dustakan?? Cumanya pada tahun ni, sis rasa terkesan sedikit setiap kali nak mulakan memasak juadah berbuka puasa ni. Tetiba sis teringatkan anak bujang sis yang jauh di perantauan. Ye lah kita ni dok meriah dgn makanan, anak bujang sis ni, entah apalah masakan berbuka puasa dia. Apapun sis minta kawan-kawan semua doakan anak sis di perantauan tu. Semoga selamat dari segala penyakit bahaya ini. Sis dapat pujuk hati sikit bila kenangkan anak bujang sis ni jenis yang pandai memasak. Banyak jugak masakan yang dia belajar dari sis sepanjang sebulan berpuasa di Malaysia pada tahun lepas. Pendek kata, apa yang dia teragak nak buat tu, dia blh masak lah. Cuma katanya, kadang2 malas nak masak je. Ok lah, kurang sikit rasa ralat dihati ni..... Moga anak mama baik-baik aje ye. Semoga Allah permudahkan urusan adik dalam mencari ilmu. Selamat Berpuasa jugak buat anak mama di sana. Ok sis taknak layan perasaan touching2 ni...

Cerita pasal mee udang ni pulak, ianya sangat sinonim dengan mee udang Kuala Sepetang, mee udang Sg Dua dan beberapa tempat lagi yang terkenal di Perak. Biasanya, jika kami berkesempatan ke Utara Semenanjung, en suami tak lepaskan peluang utk singgah untuk menikmati mee udang yang femes ni. Ok lah itu cerita dulu. Cerita hari, kisahnya, semalam sis ada beli udang besar ni yang segar dari nelayan di pantai yang berhampiran dgn rumah sis ni. Dah booking awal-awal dangan kawan sis di mana beliau lbh rapat dgn nelayan-nelayan kampung ni.
Bila tengok akan kesegaran udang ni, mulalah terbayang nak masak macam-macam makanan berasaskan udang.  Kami ambil keputusan untuk makan mee udang sebagai juadah berbuka hari ni.
Makanya, banyak lah blog2 masakan yang sis cari untuk dapatkan rasa mee udang yang hampir menepati citarasa seperti Mee Udang Kuala Sepetang. Hasil pencarian, sis jumpa blog favourite sis iaitu blog Azlita masam manis. Sis akan jadikan blog ni sbg panduan, dan ubahsuai mengikut citarasa sis.
https://norazlitaaziz.blogspot.com/2017/01/mee-udang-kuala-sepetang.html


RESEPI MEE UDANG KUALA SEPETANG CARA SIS

BAHAN-BAHAN

1/2 bungkus mee kuning-direndam dengan air panas

4 ulas bawang putih-dicincang/tumbuk
5 ulas bawang kecil/merah-ditumbuk
3 sudu besar cili kisar
2 sudu besar udang kering-direndam dan dikisar
1 biji kentang ~ kupas kulit hiris nipis, digoreng dan dikisar halus (  untuk pekatkan kuah )
3 sudu besar sos cili
2 sudu besar sos tomato
2 sudu besar sos tiram

Rencah sayur

4 batang sawi
1/2 batang lobak merah di potong mancis
1 cawan taugeh
1/2 biji tomato dipotong wedges
1 pokok daun bawang
1 tangkai daun sup
1 biji tahu putih - goreng dan potong sederhana nipis.
1 biji cili masak
Limau kasturi(x letak sbb takde)
Sedikit bawang goreng(tak letak)

Cara-cara: 
Rebus udang basah terlebih dahulu dengan 2 cawan air. Ke tepikan.
Panaskan minyak dan gorengkan kentang
Angkat kentang biarkan sejuk dan kisar bersama udang kering. Masukkan sedikit air.
Minyak yang panas tadi gorengkan tahu, angkat dan hiris nipis atau potong dadu
Panaskan semula minyak goreng tahu tadi,  dan tumis bahan kisar seperti bawang merah, bawang putih, cili dan udang kering. Setelah naik wanginya masukan air rebusan udang yang telah dikisar bersama kentang tadi.
Biar ia merenih
Masukkan sos cili, sos tiram, sos tomato, garam dan serbuk maggi cukup rasa ataupun kiub ayam. 
Biarkan kuah didih
Bila kuah dan mendidih perasakan dengan garam dan gula secukup rasa(jika suka manis). Tambahkan air dalam 2-3 cawan lagi. 
Masukkan lobak merah dan sawi
Bila dah layur sikit masukkan udang.
Kemudian tutup api

Setelah selesai semuanya hidangkan taugeh, tomato, daun bawang, hirisan tahu goreng dan daun sup. 



Wednesday, 15 April 2020

LAKSA SARAWAK

Assalamualaikum wbt

Hari ni PKP ke 29 yang merupakan hari pertama PKP fasa 3. Hari ni kami lunch Laksa Sarawak yang kebetulan paste laksa sarawak Hj Manan masih ada sebungkus lagi. Paste laksa ni adalah pemberian daripada anak angkat sis. Asyik bertangguh je nak buat, kekononnya nak tunggu dia datang... sudahnya time PKP ni, memang susah la nak jumpa kan. Makanya kita buat dulu lah.. ada rezeki, next time kita buat lagi hehehe... Dengan paste laksa Hj Manan ni, tak susah sebenarnya. Cuma ikut je arahan di belakang peket tu. Kat bawah ni sis ubah suai sikit ikut cara sis...

 RESEPI LAKSA SARAWAK
Bahan-bahan:

1 peket paste Laksa Sarawak(Paste Hj Manan)

1 ketul bahagian dada ayam-sebesar tapak tangan
12 ekor udng sederhana besar-ikut kesesuaian

Bihun secukupnya-direbus hingga lembut

2 tangkai sawi-dicelur dgn air panas
1 genggam taugeh
cili besar merah/hijau-dipotong
bawang goreng secukupnya

sambal belacan-tumbuk cili padi dgn belacan, gula, garam dan sedikit perahan limau.
3 biji telur-dibuat telur dadar dan dipotong nipis
1 kotak kecil santan

Cara-cara penyediaan kuah:
1. Panaskan 3 cawan air. Rebus 1 bahagian dada ayam hingga masak. Angkat dada ayam dan disiat-siat halus spt dlm gambar.
2. Kemudian, masukkan udang dan didih kan sekejap agak2 udang masak. Jangan biarkan mendidih terlalu lama, nanti hilang manis udang. Angkat udang dan letak dalam bekas.
3. Selepas keluarkan udang, masukkan pula sebungkus paste laksa sarawak. Biarkan mendidih.
4. Masukkan 1 kotak kecil santan. Tambah 1-2 cawan air lagi jika perlu.
5. Perasakan dgn garam. Biarkan mendidih seketika, tutup api dapur dan siap...






Wednesday, 8 April 2020

MEE LADNA

Assalamualaikum wbt

PKP hari ke 22 hari ni. Hari ni takde menu lunch sebab menghormati en suami yg berpuasa. Ok jugak la kalau xmasak lunch..jimat kalori sis ni.. Kalau takde, siang malam keje nya makannn je...
Menu hari ni berasaskan mee. Sementara stock mee kuning ada lagi dalam peti ais, kita buat Mee Ladna utk berbuka puasa hari ni merangkap makan malam kami. Ada juga stock tauhu dalam peti, jadinya kita buat tauhu sumbat. Kebetulan pulak, kuah lada nasi ayam hr tu masih ada.. Sesuai sangat la kan....
Jom kita start resepi mudah yg org lain pun dah tahu buat caner kan...
Sekadar kongsi2 ilmu ye gang...


RESEPI MEE LADNA

Bahan-bahan/cara-cara:
3 bahagian mee(utk 3 mangkuk)
-basuh dan tapis
2 biji bawang putih
Panaskan kuali. Masukkan sedikit minyak utk menumis. Letakkan 1 sudu minyak bijan.
Tumis bawang putih dan masukkan mee. Letakkan 2-3 sudu kicap manis. Gaul-gaul sehingga kicap sebati dengan mee. Angkat dan masukkan dalam 3 mangkuk yg disediakan.  Ketepikan.

Bahan-bahan kuah:
1 cawan isi ayam. Potong kecil.
2 ekor sotong. Potong bulat.
3 ulas bawang putih-diketuk dan diracik halus
1/2 biji bawang holand-potong kiub
1 inci halia-potong bulat dan memanjang-rujuk gambar
1 pokok sawi jepun
3 tangkai sayur kobis bunga-agak2 dapat 1 mangkuk kecil
1/4 biji capsicum
1/2 batang karot-potong buat dan memanjang
3 biji cili padi-belah 2
1/2 biji cili besar merah
1/2 biji tomato
sedikit daun sup dan daun bawang

1 sudu tepung jagung bancuh dengan 1 cawan air
2 cawan air
1 biji telur
1 kiub ayam
minyak untuk menumis
garam secukupnya

Cara-cara:
1. Panaskan kuali. Masukkan minyak untuk menumis
2. Tumis bawang putih, halia dan bawang besar.
3. Masukkan ayam dahulu. Biarkan hingga ayam masak.
4. Masukkan 2 cawan air. Kalau nak kuah lebih, lebihkan lagi air.
5. Masukkan kiub ayam. 
6. Masukkan sayur-sayur, kecuali tomato masuk last, sebelum tutup api.
7. Rasakan kuah, jika tak cukup garam, blh tambah. 
8. Masukkan sotong. Biarkan mendidih.
9. Pecahkan telur dalam cawan, kacau-kacau dengan sudu/garfu. Tuang dalam kuali. Biarkan sekejap. Jangan dikacau-kacau supaya telur tak bercampur dgn kuah. Nanti kuah jadi keruh, macam dlm gambar sis tu(kuah tak cantk sgt). Ini kes bila en suami yg sibuk nak kacau sis kat dapur hahah. Kang tak bagi kacau dia merajuk pulak..hikhikhik... 
Sepatutnya, lepas tuang telur tu, biarkan telur tu masak sekejap.
10. Last sekali, tuang air tepung jagung. Masukkan tomato. Biarkan mendidih sekejap. Tutup api, boleh la dituangkan ke dalam mangkuk yang berisi mee tadi. 






Friday, 26 June 2015

Ramadhan 9: Mee Kari dan Tauhu Sumbat

Assalamualaikum dan salam ramadhan ke 9. Hari ni hari Jumaat. Seperti biasa, balik dari sekolah, ambik Aamira di rumah dan terus shoot ke Selandar ambik Irfan pulak yg jaraknya lbh kurang 45 km dari rumah. Then dari situ terus ke Bandar Melaka hantar irfan tuisyen Kimia di Bukit Bruang. So, kisahnya, hari ni kami akan berbuka di rumah mertua di Bukit Bruang. Kebetulan, suami aku pulak ada meeting di Melaka je, maka segala urusan jadi senang la kan. 3 hari 3 malam dok pikir nak masak  apa sebagai menu untuk berbuka puasa. Kalau dah sampai di Melaka, anak-anak memang dok pikir nak beli kuih popia basah yg terkenal di bandar hilir. Yang tu memang wajib sebagai juadah sampingan. Makanya, termetarilah idea nak buat mee kari. Yang dah di plan 2 hari lepas. Bila dah plan awal, senang je nak cari bahannya. Selesai menghantar irfan kami terus le soping bahan-bahan mee kari.

Meh kita tgk bahan-bahan mee kari ikut versi aku ye.

Mee Kari:

Bahan-bahan:
2 bungkus mee (ikut kesesuaian ahli keluarga)-dicelur
sayur sawi-dicelur
taugeh-dicelur
tomato hiris nipis
tauhu dihiris nipis
cili merah-dihiris
limau kasturi(xletak)
beberapa biji telur di rebus dan dibelah 2
daun sup dan daun bawang

Bahan-bahan kuah:

2 keping isi dada ayam (1/2 kg)-potong dadu atau potong kecil
7-8 ulas bawang putih diketuk dan dihancurkan (chopped)
1 biji bawang besar dipotong dadu atau dipotong nipis
1 inci halia-dimayang halus
2-3 sudu cili blend
rempah tumis (kayu manis, bunga lawang, buah pelaga, bunga cengkih dan lada putih/lada hitam)
7-8 sudu besar penuh kari daging -lbh kurang 1/2 peket besar rempah kari apa2 brand (kari lebih supaya tak rase banyak santan dalam kuah nanti)
1 kotak kecil santan kara (200 ml)
beberapa ketul tauhu pok (tauhu yg ringan)
2 keping tauhu
1 bungkus fishball
2 keping fishcake
2 liter air
minyak untuk menumis.

Cara-cara:

1. Panaskan minyak lbh kurang 1/2 cawan. Masukkan rempah tumis.
2. Tumis bawang putih dan bawang besar/bawang merah
3. Masukkan cili blend dan masak hingga cili garing.
4. Masukkan rempah kari dan dalam masa yg sama sediakan secawan air. Bila dah masukkan rempah kari, harus berhati-hati kerana  ianya akan cepat hangus sebab rempah kari serbuk tidak dibancuh dgn air. Dengan serta merta masukkan air dan biar rempah kari tadi masak dan wangi.
5. Masukkan ayam dan kacau rata.
6. Masukkan air. Bila mendidih, masukkan tauhu, fishball dan fishcake.
7. Perasakan dengan garam dan maggi cukup rasa.
8. Last sekali masukkan santan dan kacau rata supaya santan tidak berketul. Kacau sebati je, tak perlu lama2 sangat takut santan nanti berketul.
9. Tutup api dan sedia dihidang.


Sementara tu, mummy (ibu mertua) sempat buat tauhu sumbat. Aku pulak tolong siapkan kuah kacang untuk dimakan bersama tauhu sumbat tadi.

Tauhu Sumbat

Bahan-bahan:

Beberapa ketul tauhu, dipotong serong bentuk 3 segi - panaskan atas kuali sekejap ataupun digoreng
timun dipotong memanjang
taugeh dicelur

Kuah kacang simple: (ikut bahan yg ada kt rumah je)

1 cawan kacang tanah, digoreng dan dikisar halus
3 ulas bawang putih diketuk
3 biji bawang kecil dimayang/ditumbuk
1 sudu cili kisar
1/2 ketul gula melaka
sedikit air asam jawa
garam dan perasa maggi

Cara-cara: Panaskan minyak.  Tumis bawang hingga naik bau. Masukkan cili kisar. masak hingga cili garing. Masukkan kacang tanah dan 2 cawan air. Masukkan garam, air asam jawa, maggi cukup rasa dan gula melaka. Bila sudah pekat dan kuah sudah masak, boleh la ditutup api dan sedia dihidang...

KUIH KOLEH KACANG 5 Ramadhan

Assalamualaikum wbt 5 Ramadhan 1442/ 17 April 2021 Alhamdulillah.. Sedar tak sedar dah 5 ramadhan hari ni. Hari ni hari Sabtu, sis sekeluarg...